ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU KALIMAH ALLAH !!! PAS DAH NYATAKAN PENDIRIAN MEREKA, ANWAR BILA LAGI ???

Tuesday 15 January 2013

ISU KALIMAH ALLAH !!! PAS DAH NYATAKAN PENDIRIAN MEREKA, ANWAR BILA LAGI ???


KENYATAAN MEDIA YB DATO’ DR HASAN MOHD ALI BERKAITAN 
DENGAN KEPUTUSAN MAJLIS SYURA ULAMA PAS MENGENAI ISU KALIMAH ALLAH


Syabas dan tahniah kepada Majlis Syura Ulama yang telah membuat keputusan dengan tegas mengenai Kalimah Allah. Majlis Syura memutuskan orang bukan Islam sama sekali tidak boleh menggunakan Kalimah Allah dalam kitab agama mereka kerana kalimah tersebut adalah khusus untuk Agama Islam. Ianya tidak boleh diterjemah ke dalam apa bahasa pun. Sebarang usaha untuk melakukan sesuatu yang berlainan dengan keputusan itu hendaklah dicegah.

Keputusan Majlis Syura tersebut menggambarkan bahawa Majlis Syura Ulama PAS masih berkuasa dalam menentukan dasar parti tidak dicemari. Majlis ini bertindak sebagai badan pengawal untuk menentukan bahawa halatuju parti itu sentiasa menepati asas-asas perjuangan asalnya. Umum mengetahui masih terdapat banyak lagi isu-isu yang tidak ditangani khususnya yang berkaitan dengan kedudukan Melayu-Islam seperti yang sering dibangkit dan dipersoalkan oleh DAP dan PKR.

Ketegasan Majlis Syura itu menjadi tamparan yang hebat sekaligus menyanggah dan membidas Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim dan golongan parasit dalam PAS. Sekali lagi dalam isu Kalimah Allah golongan parasit bertindak sebagai juru mengiakan permintaan dan desakan DAP. Golongan parasit juga menjadikan PAS lunak dan tunduk kepada DAP dan PKR termasuk dalam isu-isu besar dan sensitif yang kedudukannya masih di awang-awang.

Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara pokok yang masih tergantung dan belum dapat diselesaikan hingga menjadi beban yang tidak mampu lagi ditanggung oleh PAS. Antaranya termasuklah isu Negara Islam dan Hudud, penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah, keengganan DAP menerima peraturan-peraturan untuk menjamin keluhuran akhlak khususnya di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, isu pluralisme, liberalisme, LGBT dan sebagainya.

Saya ingin mencabar Anwar Ibrahim dan DAP atas dasar semangat setiakawan Pakatan yang mereka agung-agungkan supaya membuat kenyataan rasmi menerima keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu. Kenyataan sedemikian boleh menghilangkan sebarang keraguan mengenai penerimaan PKR dan DAP terhadap PAS untuk meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat seterusnya.

Apa pun, sekali lagi sekalung penghargaan patut diberi kepada Majlis Syura yang telah berupaya melenyapkan berbagai tanggapan mengenai kemampuan PAS menangani isu-isu sensitif seperti Kalimah Allah. Nun di hadapan masih banyak yang perlu dirungkaikan akibat daripada DAP dan PKR yang tidak henti-henti membolak balik isu-isu besar yang gariskan di atas.


DATO’ DR HASAN MOHD ALI
Presiden JATI
Pejabat Operasi Jati
153B, 2nd Floor, Jalan Aminuddin Baki,
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
14 Januari 2013

No comments:

Post a Comment