ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DIMANA AGENDA ISLAM DALAM MANIFESTO PR ???

Saturday 2 March 2013

DIMANA AGENDA ISLAM DALAM MANIFESTO PR ???


Sudah empat kali Pakatan Rakyat melancarkan manifesto mereka, yang terkini berjudul "Pakatan Harapan Rakyat" - namun apa yang cuba saya cari, tidak ketemu. Tiada agenda Islam yang jelas dalam polisi dan manifesto PR.

Setidak-tidaknya, rakyat mengharapkan asas perjuangan PAS bagi melaksanakan Hukum Hudud termaktub juga dalam hala tuju PR, atau sekurang-kurangnya atas nama menghormati para pengundi PAS yang selama ini berhempas pulas memberi undi demi perjuangan parti itu mampu dibalas dengan adil dengan meletakkan perundangan Islam sebagai asas keadilan nasional dan holistik di negara ini.

Namun demikian, malang sekali kerana semua asas perjuangan PAS tidak dapat dimasukkan di dalam mana-mana manifesto PR, apatah lagi mengimpikannya untuk diangkat sebagai polisi atau dasar negara. Yang jelas sekularisme dan pluralisme masih tetap kekal utuh mendominasi dasar politik PR. 

Soalnya berbaloikah "Tahalul Siyasi" yang dilakukan oleh PAS selama ini??

Tepuk dada tanya iman. 



Manifesto Pakatan Berbau ‘Malaysian Malaysia’

Yang jelasnya beberapa perkara dapat disimpulkan seperti berikut :
a. Manifesto yang dibentangkan tidak mengambil kira langsung keberlangsungan umat Melayu sebagai umat pribumi dan perlaksanaan syariat Islam seperti yang tertanam di hati sanubari ahli dan penyokong PAS. Amat jelas sama ada disedari oleh pimpinan-pimpinan tertinggi PAS ataupun tidak, manifesto ini merupakan satu pendekatan tersembunyi untuk menukar imej PAS yang sebelum ini tegak dengan Islam dan Melayunya supaya menerima hakikat “Malaysian Malaysia”, “samarata” dan “samarasa”.
b. Manifesto tersebut tidak memberi penjelasan langsung rangka kerja mengagungkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang masih serba serbinya ketinggalan terutamanya di bidang ekonomi dan penguasaan kekayaan negara seharusnya perlu terus menerima asuhan, bimbingan, galakan dan pakej bantuan menyeluruh bagi melonjakkan pencapaian mereka supaya menjadi bangsa bermaruah yang mampu bersaing di peringkat nasional mahupun global bila Malaysia menjadi negara maju nanti.
c. Manifesto Pakatan Rakyat mengenepikan langsung pembangunan keinsanan dan kerohanian. PAS sebagai salah sebuah parti Islam yang kini merupakan salah sebuah parti komponen Pakatan Rakyat biasanya mengutarakan konsep insan sepadu yang mesti dibangunkan seutuhnya. Ini bermakna di samping kemajuan material, pembangunan seharusnya menekankan aspek mental dan intelektual terutamanya spiritual yang akan menjamin lahirnya masyarakat yang seimbang pembangunannya. Sementara di peringkat individu seimbang juga sahsiah keperibadiannya. Rakyat sedemikianlah yang diharap mampu menjelmakan konsep “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghaffur” seperti yang disebut berulang kali oleh pimpinan PAS.
d. Apa yang ditawarkan pada analisa akhirnya lahirlah manusia-manusia yang teguh kedudukan material yang lazimnya mudah menonjolkan sifat-sifat keangkuhan, kesombongan dan kebongkakkan demi mengejar “superiority material”. Akhirnya segelintir rakyat mungkin boleh mencapai kelebihan material itu dengan menidakkan sebahagian besar masyarakat yang merupakan kelompok majoriti yang tidak mempunyai persediaan untuk sama-sama merebut peluang material yang ada di hadapan mereka.
e. Kita sudah menyaksikan bagaimana masyarakat barat melalui proses untuk mencapai tahap kemajuan dan kesejahteraan material seperti yang dibangga-banggakan. Atas tekanan material semata-mata akhirnya masyarakat dibebani dengan berbagai penyakit masyarakat sama ada yang timbul daripada masyarakat itu sendiri atau yang diimport daripada luar.
Rata-ratanya masyarakat tidak mempunyai benteng pertahanan untuk mempertahankan keutuhan nilai-nilai sosio budaya, akhlak, budi pekerti dan tata susila dan kekuatan dalaman yang sangat diperlukan untuk menongkah cabaran abad yang berikutnya.
f. Seperti yang diulas panjang lebar sebelum ini tawaran-tawaran yang dikemukakan tidak lebih daripada janji-janji kosong setakat untuk menggamit keyakinan pengundi untuk memilih Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13. Yang paling mudah bagi mereka nanti bila sampai masanya bila janji-janji dituntut oleh rakyat, dengan mudah mereka akan mengatakan “manifesto bukan satu perjanjian”. Ini menggambarkan bahawa kalimat-kalimat dalam manifesto itu tidak lebih lebih daripada sususan ayat-ayat yang disalut dengan gula-gula manis untuk memikat hati rakyat. Bila sampai masanya mereka mencari seribu dalih memberi justifikasi mengapa manifesto tersebut tidak dapat dilaksanakan.
g. Para penganalisa politik sehingga kini menyebutkan bahawa tawaran Pakatan Rakyat dalam konteks pembangunan sebuah negara seperti Malaysia dapat disamakan seperti mimpi di siang hari. Pakar-pakar ekonomi pula menghujahkan seandaianya sebahagian apa lagi kesemua butiran-butiran manifesto itu hendak dilaksanakan, Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara muflis. Ketika itu pihak yang menawarkan bintang dan bulan tersebut mudah mencuci tangan sebaliknya rakyatlah yang akan menanggung bahana dan derita yang mungkin berpanjangan hingga ke beberapa generasi yang akan datang.
h. Bagi mereka yang belum mempunyai pengalaman mengurus dan mentadbir sebuah negara, tawaran-tawaran yang dibuat lebih mudah untuk dinukilkan. Sebaliknya kepada pihak yang sudah berpengalaman mengurus negara sudah tentu mengambil kira berbagai faktor terutamanya faktor boleh atau tidak boleh tawaran itu dilaksanakan. Kita belum melihat tawaran daripada BN lagi. Seandainya BN juga dalam masa terdekat ini dapat mengemukakan manifesto mereka, maka bolehlah rakyat membuat penelitian dan mengambil satu posisi terhadap kedua-dua manifesto tersebut. Barulah rakyat boleh menilai yang mana yang lebih munasabah dan yang mana yang boleh dipercayai serta yang mana yang mempunyai kredibiliti untuk diberi mandat di dalam PRU ke 13 nanti.
Setakat yang dapat kita saksikan di negeri-negeri dalamana Pakatan Rakyat diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbirnya, fakta-fakta menunjukkan bahawa sebahagian yang dijanjikan dalam manifesto untuk masing-masing negeri tidak berjalan seperti yang diharapkan. Harga rumah yang rata-ratanya melambung tinggi menjadi penyebab orang-orang Melayu di Pualu Pinang dan Selangor keluar mencari tempat kediaman di kawasan-kawasan pinggiran bandar, luar bandar dan kawasan terpencil menghampiri hutan simpan yang mampu dimiliki sesuai dengan pendapatan isi rumah mereka.
Seperkara lagi bagi Pakatan Rakyat mereka boleh janjikan apa sahaja. Lantaran kemungkinan untuk memenangi Putrajaya masih jauh daripada yang diangan-angankan. Oleh itu taktik yang paling mudah tawarkanlah apa sahaja. Beri rakyat bulan dan bintang. Manalah tahu, kalau ada di antara rakyat yang boleh terpengaruh dengan janji-janji politik yang ditaburkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan yang terkenal lunak dan bijak mengabui mata dan minda rakyat.
Hanya rakyatlah yang semestinya bijak. 55 tahun kita merdeka, sepatutnya tidak ada golongan rakyat di Malaysia yang masih boleh digula-gulakan. Tidak ada lagi golongan rakyat di negara ini yang sanggup diperkotak-katikkan kebolehan minda dan kebijaksanaan membuat keputusan. Rakyat Malaysia sudah dimasukkan ke dalam kumpulan rakyat yang berpendidikan. Rakyat yang boleh menentukan masa depan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negaranya sendiri.
YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
25 Februari 2013

No comments:

Post a Comment