ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DUA ANGGOTA POLIS BEBAS TUDUHAN BUNUH ALNTATUYA.

Friday 23 August 2013

DUA ANGGOTA POLIS BEBAS TUDUHAN BUNUH ALNTATUYA.

Dua anggota unit tindakan khas polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lepas.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Hakim Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah.
Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.
Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.
“Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini,” kata Hakim Tengku Maimun.
Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara  pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

No comments:

Post a Comment