ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KERUSI TIMBALAN PRESIDEN PAS : PAS KAWASAN SEPENDAPAT DENGAN HARUN TAIB !!!

Saturday 12 October 2013

KERUSI TIMBALAN PRESIDEN PAS : PAS KAWASAN SEPENDAPAT DENGAN HARUN TAIB !!!



Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menyokong penuh sekiranya jawatan Timbalan Presiden disandang golongan ulama dalam pemilihan parti itu November ini.

Walau bagaimanapun, katanya, terserah kepada perwakilan untuk membuat penilaian dan sesiapa sahaja yang dipilih kelak akan tetap diterima termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan penyandangnya, Mohamad Sabu.

"Saya tidak kisah, saya setuju dan sokong apa sahaja keputusan para perwakilan pada pemilihan parti (Pas) November ini.

"Kalau mereka (perwakilan) pilih Mohamad Sabu, saya setuju. Begitu juga kalau mereka pilih kalangan ulama termasuk Mohd. Amar, pun saya sokong," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas desas-desus Mohd. Amar kemungkinan turut bertanding jawatan Timbalan Presiden yang akan dipertahankan Mohamad Sabu.

Laluan bagi menyaksikan jawatan itu diisi golongan ulama semakin hebat diperkatakan berikutan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat kenyataan menarik perhatian ramai selepas berharap perwakilan Pas akan memilih ulama menjadi Timbalan Presiden itu dalam Muktamar Tahunan Pas ke-59 bermula 22 November ini.

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu dilihat sebagai isyarat jelas ulama harus kembali menjadi Timbalan Presiden selepas jawatan itu 'terlepas' kepada golongan bukan ulama dalam pemilihan lalu.

Penyandang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dilihat bukan calon pilihan di kesemua enam Pas kawasan di negeri ini yang telah pun selesai bermesyuarat bagi mencadangkan calon jawatan tertinggi Pas Pusat.

Enam kawasan selesai membuat pencalonan adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala Hulu Terengganu serta Marang masih belum mencadangkan calon, sebaliknya akan diputuskan dalam mesyuarat Pas kawasan masing-masing Sabtu ini dan Khamis depan.

Kesemua enam kawasan tersebut bagaimanapun, sebulat suara melalui mesyuarat jawatankuasa Pas kawasan mengekalkan calon Presiden kepada penyandang sedia ada iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dua calon yang dilihat menjadi pilihan Timbalan Presiden setakat ini adalah, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Nik Mohd Amar mendapat empat pencalonan dari Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Dungun manakala Tuan Ibrahim mendapat sokongan sebulat suara oleh Pas kawasan Kemaman dan Setiu bagi mencabar Mohamad Sabu dalam pemilihan parti itu, November depan.

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden, Salahudin Ayub yang merupakan penyandang  mendapat sokongan daripada keenam-enam kawasan untuk beliau terus mengekalkan jawatan tersebut.

Tuan Ibrahim pula mendapat empat pencalonan, Datuk Mahfuz Omar (tiga), manakala Datuk Abu Bakar Chik dan Idris Ahmad masing-masing dengan dua pencalonan.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang juga Adun Salor hanya mendapat satu pencalonan dari Pas kawasan Kemaman.

No comments:

Post a Comment