ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 11 MAC TARIKH BAHARU JATUH HUKUM TERHADAP KARPAL SINGH KES HASUTAN TERHADAP SULTAN PERAK.

Monday 24 February 2014

11 MAC TARIKH BAHARU JATUH HUKUM TERHADAP KARPAL SINGH KES HASUTAN TERHADAP SULTAN PERAK.



KUALA LUMPUR - 11 Mac ditetapkan sebagai tarikh baharu untuk mitigasi dan menjatuhkan hukuman terhadap peguam Karpal Singh selepas didapati bersalah mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009.

Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP mengesahkan tarikh itu kepada Bernama ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini. Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 7 Mac untuk menjatuhkan hukuman.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata beliau dimaklumkan secara lisan tarikh baharu itu oleh timbalan pendaftar hari ini memandangkan hakim perbicaraan Datuk Azman Abdullah yang bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, tidak dapat hadir pada tarikh awal itu.

Karpal Singh, 73, didapati bersalah pada Jumaat lepas, mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Februari 2009 bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Karpal Singh menghadapi risiko hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen jika didenda lebih RM2,000 atau dipenjara melebihi tempoh setahun.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal Singh daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Januari 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Karpal Singh juga memberitahu Bernama jika sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan (Mahkamah Rayuan dan Persekutuan) beliau tidak boleh mengekalkan jawatan pengerusi DAP.

Beliau berkata perlembagaan parti tidak membenarkan individu yang disabitkan dengan sebarang pertuduhan jenayah memegang atau menawarkan diri untuk bertanding apa-apa jawatan parti.

Karpal Singh merujuk situasi sama yang dihadapi Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng yang didapati bersalah bagi pertuduhan sama pada 1998, dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan. Guan Eng hanya kembali aktif berpolitik pada 2004.

Bagaimanapun, Karpal Singh menegaskan beliau boleh meneruskan amalan guamannya kerana kesalahan yang dihadapinya itu tidak termasuk dalam tafsiran 'salah laku profesional' seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 94 Akta Profesion  Undang-Undang 1976. 
Bernama

No comments:

Post a Comment