ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATED TERKINI !!! 3 REMAJA LEMAS, 5 HILANG TERJATUH KE DALAM SUNGAI MUAR !!!

Friday 21 February 2014

UPDATED TERKINI !!! 3 REMAJA LEMAS, 5 HILANG TERJATUH KE DALAM SUNGAI MUAR !!!

Foto
SEGAMAT: Tiga mayat mangsa daripada lapan pelajar lemas ditemui petang tadi selepas seorang demi seorang terjatuh ke dalam Sungai Muar, Buloh Kasap di sini, pagi tadi ketika cuba menyelamatkan rakan.

Mayat mangsa pertama, Mohd Hafzul Daniel Norhasim, 16, ditemui pada jam 3.26 petang manakala mangsa kedua, Mohd Zikri Zaidi, 14, ditemui pada jam 3.41 petang, tadi.

Sementara itu, mayat mangsa ketiga, Nazrul Aminuddin Zamri, 14, ditemui lima meter dari mangsa kedua pada jam 4.22 petang. 

Mangsa lain yang masih hilang dikenal pasti sebagai Mohd Zaki Zaid, 16; Mohd Izuan Hakimi Amin, 13; Mohd Shafiq Md Sukur, 16; Mohd Noreen Zainal, 14; dan Mohd Hafizuddin Kamal, 16.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lapan remaja berkenaan dikatakan berjoging di kawasan berhampiran bersama empat lagi rakan mereka.

Kesemua mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap di sini, dan dikatakan keluar rumah pada jam 6 pagi sebelum melalui lokasi berkenaan.

Saksi kejadian yang juga rakan kepada kesemua mangsa, Mohamad Shahrul Abdul Halim, 14, berkata, beberapa rakannya kemudiannya mengajak mereka semua mandi di sungai berkenaan.

"Bagaimanapun, kami berempat menolak kerana tidak tahu berenang. Lapan rakan yang lain kemudiannya pergi ke tebing sungai. 

"Kami sangka sungai berkenaan cetek dan tidak tahu ia kini dalam akibat kerja mengorek pasir," katanya di lokasi kejadian. 

Menurut Mohamad Shahrul, Mohd Hafizuddin yang berada di tebing sungai tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai berkenaan. 

Katanya, Mohd Izuan Hakimi dan Mohd Noreen kemudiannya terjun untuk membantu namun mereka juga terkapai-kapai. 

"Mohd Zikri dan Nazrol Aminuddin kemudiannya terjun untuk menyelamatkan mereka bertiga namun turut terkapai-kapai.

"Mohd Shafiq dan Mohd Hafzul Daniel kemudiannya menghulurkan kayu kepada mereka namun kedua-duanya turut terjatuh," katanya. 

Menurut Mohamad Shahrul, Mohd Zaki yang pandai berenang kemudiannya terjun untuk membantu namun akhirnya turut tenggelam. 

Mohamad Shahrul berkata, mereka kemudiannya memaklumkan kejadian kepada orang ramai sebelum pasukan penyelamat dihantar ke lokasi kejadian. 

Sementara itu, komander operasi mencari dan menyelamat, Asisten Superintendan Mansor Taib berkata, operasi menyelamat bermula pada jam 9.48 pagi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah dan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra. 

"Operasi berkenaan disertai 48 anggota keselamatan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bomba. 

"Kami turut mendapat bantuan daripada 12 anggota unit skuba serta lima anjing pengesan daripada Unit K9," katanya di lokasi kejadian. 

Menurut Mansor, siasatan awal mendapati kedalaman sungai dianggarkan antara kira-kira 4.6 hingga enam meter. 

"Kami turut mengurangkan penggunaan bot kerana ia boleh menyebabkan dasar sungai bergelodak dan menimbus mangsa," katanya. 

Mangsa lain belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan. MyMetro


Satu demi satu ‘ditelan sungai’

Segamat: “Ya Allah... Zikri... Ayoi... tolong aku.” Itu ungkapan terakhir mangsa pertama tragedi lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap, dekat sini, yang mengorbankan tiga remaja manakala lima lagi rakan mereka masih hilang, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya, tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang cuba membantu turut hilang. 

Sehingga jam 11 malam tadi , tiga mayat ditemui iaitu Mohd Hafizul Daniel, Norhashim, Mohd Zikri Zaidi dan Naz-rul Aminuddin.

Ketiga-tiga mayat itu ditemui dasar sungai berhampiran satu sama lain.

Daripada lapan remaja berkenaan, dua daripada mereka adalah adik beradik, iaitu Mohd Zikri dan abangnya, Mohd Zaki.

Empat lagi rakan mangsa, Mohd Shahrul Abd Halim, 14; Mohd Amerul Shah Ammar, 14; Hafizuddin Zamri, 15; Norshafila Abdullah, 16, terselamat kerana tidak terjun ke dalam sungai selepas melihat satu demi satu kawan baik mereka ‘ditelan sungai’.

Semua remaja berkenaan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.

Pasir jerlus

Kejadian dipercayai berpunca daripada pasir jerlus di Sungai Muar dekat Buloh Kasap, yang seolah-olah ‘menyedut’, mangsa apabila terpijak dasar sungai itu.

Apabila mangsa memijak dasar sungai yang mencecah kedalaman sehingga enam meter, kaki terbenam dan ‘disedut’ sehingga gagal menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk So’iman Jahid, berkata lokasi mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain kerana kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.

“Cuaca panas sejak kebelakangan menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus di tengah sungai,” katanya.

Sebelum kejadian itu, 12 remaja berkenaan dari Taman Mewah, yang terletak kira-kira dua kilometer dari sungai itu, berjoging di tepi sungai berkenaan.

Mereka yang berjoging kira-kira jam 6.30 pagi, singgah menghirup udara pagi di tepi Sungai Muar berhampiran lokasi kejadian.

Mohd Shahrul berkata, ketika berada di tepi sungai itu, ada dalam kalangan mereka mengingati sesama sendiri supaya tidak pergi ke gigi air kerana bimbang terjatuh.

“Belum habis bercakap, tiba-tiba Mohd Hafizuddin tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai dan tangan terkapai-kapai.

“Pada mulanya, kami ingatkan dia bergurau, tetapi apabila dia tenggelam, Mohd Izoan dan Mohd Noreen terus terjun untuk menyelamatkannya.

“Apabila melihat Mohd Izoan dan Mohd Noreen tidak juga timbul, Mohd Zikri dan Nazrul Aminuddin pula terjun bagi menyelamatkan mereka,” katanya.

Dalam keadaan cemas dan panik, Nazrul atau dikenali Ayoi, meminta rakannya yang terkapai-kapai dalam sungai supaya bersabar dan mengarahkan rakan di darat mencari tali dan kayu.

Bagaimanapun, belum sempat empat rakan yang berada di darat mendapatkan tali atau kayu, Ayoi turut tenggelam.

Nekad terjun 

Melihatkan seorang demi seorang rakan mereka hilang, Mohd Shafiq dan Mohd Hafizul Daniel, nekad terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, kedua-duanya turut mengalami nasib yang sama.

Mohd Shahrul berkata, Mohd Zaki pula tanpa berfikir panjang, terus terjun untuk menyelamatkan tujuh rakan yang sudah tenggelam, tetapi dia juga tenggelam.

“Kami berempat tergamam apabila melihat kelapan-lapan teman baik semuanya tidak timbul,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku dalam masa kurang lima minit.

Sementara itu, Mohd Amerul Shah berkata, dia yang panik dan terkejut, menelefon ibu dan bapa mangsa untuk mendapatkan bantuan.

Norshafila, satu-satunya perempuan dalam kumpulan itu, berlari pulang ke rumah bagi memaklumkan kepada keluarga.

BH

No comments:

Post a Comment