ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS SOKONG CALON DAP TOLAK HUDUD DEMI DESAKAN POLTIK - TPM

Tuesday 27 May 2014

PAS SOKONG CALON DAP TOLAK HUDUD DEMI DESAKAN POLTIK - TPM



NUSAJAYA: Tindakan PAS menyokong kempen calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Perak adalah disebabkan desakan politik meskipun ternyata calon itu menolak hudud, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pakatan pembangkang tidak lagi berpegang kepada prinsip masing-masing.

"Ini satu desakan politik, walaupun banyak percanggahan bukan sahaja ketika PRK namun ia berlaku sebelum-sebelum ini dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat, bukan hanya dari segi percanggahan hukum, ia termasuk dasar-dasar lain.

"Ini perkongsian tidak teguh kerana pasal ada kepentingan politik dan bagi saya ia bukan sesuatu yang menghairankan. Walaupun calon itu menentang hudud, dia tetap disokong Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kerana soal prinsip bukan lagi menjadi satu pegangan utama, katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran negeri Johor di sini Selasa.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas tindakan Abdul Hadi yang turun padang menyokong kempen calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud meskipun wanita itu dengan secara terang-terangan menolak hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri mendengar taklimat lebih sejam daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar tentang pembangunan negeri Johor. Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu, Muhyiddin turut menyelar pembangkang yang memutarbelitkan fakta kononnya calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong mahu menerima jawatan senator sekiranya dilantik.

"Saya menghormati pandangan Datuk Mah yang tidak mahu dilantik selaku senator kerana jika beliau mahu, sebelum ini sudah boleh dilantik.

"Namun, beliau lebih berminat bekerja untuk parti dan komuniti masyarakat Cina dan beliau tidak memikirkan soal perjawatannya. Kita mahukan beliau menang dan mana tahu akan dilantik oleh Perdana Menteri dalam barisan kabinet kelak," katanya.

Mengulas tentang 56.04 peratus keluar mengundi pada PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada Ahad lepas, Muhyiddin berkata ia mengejutkan kerana peratus keluar mengundi itu paling rendah dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini. 

Bagaimanapun, beliau berharap rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi pada PRK Teluk Intan 31 Mei ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mah dan Dyana Sofya.

MStar

No comments:

Post a Comment