ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERTUKARAN WAKTU UNTUK PENGHORMATAN TERAKHIR ALMARHUM SULTAN PERAK

Wednesday 28 May 2014

PERTUKARAN WAKTU UNTUK PENGHORMATAN TERAKHIR ALMARHUM SULTAN PERAK


KUALA KANGSAR; Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pertukaran waktu untuk penghormatan terakhir Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah esok.

Masa untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir ialah dari jam 9 hingga 11.30 pagi; Menteri, Menteri Besar, orang kenamaan dan perwakilan asing (11.45 pagi hingga 1.15 petang); Raja, Ketua Negara, Ketua Kerajaan dan Tuan Yang Terutama (1.30 hingga 2.15 petang). {Artikel Berkaitan}

Pengisytiharan Sultan Perak yang baharu pula pada jam 2.30 petang manakala seraja (jenazah) Diraja ditandu ke Masjid Ubudiah pada jam 3 petang untuk disembahyangkan.

Etika Berpakaian Bagi Orang Awam Ziarah Jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah

Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan berpakaian.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak pada Rabu, lelaki Islam perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan kain putih atau riben selebar satu inci. 

Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan dililit kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju tangan kiri. 

Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam. 

Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri.

Istiadat Pelantikan Dan Pengisytiharan Sultan Perak Yang Baharu Esok

Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang esok (Khamis).

Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat pada Rabu.

Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak akan diadakan lewat petang ini bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Istana Iskandariah, katanya.

Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Ayob berkata istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu itu akan berlangsung selepas orang ramai dan orang kenamaan menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan Azlan Shah.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.

No comments:

Post a Comment