ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UiTM : KITA PERLU FAHAMI SENSITIVITI RAKYAT - DS AHMAD SHABERY CHEEK

Thursday 22 May 2014

UiTM : KITA PERLU FAHAMI SENSITIVITI RAKYAT - DS AHMAD SHABERY CHEEK


TELUK INTAN: Saranan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu seharusnya mengambil kira sensitiviti rakyat negara ini, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, ia mungkin boleh dikemukakan, tetapi perlu diadakan satu aliran sahaja dengan  keseragaman di antara kaum lain.

“Kita boleh cadangkan untuk satu aliran sahaja (dalam institusi pendidikan) tetapi ia memerlukan persetujuan dan pendirian bersama.

“Jika kita buang ini (penyertaan kaum tertentu dalam sesebuah institusi), bermakna kita perlu buang yang itu juga. Tanya Dong Zong (Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia), DAP, MCA, yang lain, apakah ini yang mereka mahu?

“Ini kita boleh runding jika mereka rasakan ia perlu. Tetapi jangan kita hanya mempertikaikan yang Melayu, tetapi tidak mahu mempertikaikan lain-lain yang mereka berasa selesa dengannya,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pusat media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Pusat Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Teluk Intan di sini, Khamis.

Ahmad Shabery berkata, UiTM ditubuhkan bagi memberi keistimewaan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera lain seperti yang terkandung dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Calon DAP pada PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud kembali menghangatkan isu membuka penyertaan bukan Melayu di UiTM apabila mencadangkan penubuhan institusi seperti universiti itu untuk bukan Melayu kerana beliau berpendapat bahawa akses pendidikan yang baik perlu diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Menurut Ahmad Shabery, beliau tidak mempertikaikan isu UiTM, sebaliknya gesaan pihak tertentu itu akan mencetuskan pertikaian orang lain mengenai sejarah institusi pengajian tersebut dan perkara lain berkaitan hak istimewa orang Melayu.

“Apa pun, kita kena faham sensitiviti masyarakat kita. Kita masih aman kerana masing-masing tahu menjaga sensitiviti.

“Tetapi kalau kita tidak tahu menjaga sensitiviti tentang perkara itu, kita tengoklah nanti apa yang berlaku sebagaimana di Palestin, Iraq yang tiada sensitiviti di antara mereka,” katanya.
Mstar ONLINE

No comments:

Post a Comment