ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BIAR KHALID TERUSKAN KHIDMATNYA - PEMIMPIN PAS

Tuesday 15 July 2014

BIAR KHALID TERUSKAN KHIDMATNYA - PEMIMPIN PAS



PETALING JAYA: Isu Menteri Besar Selangor menjadi lebih rumit apabila pemimpin-pemimpin PAS di Selangor kini menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berkhidmat secara penuh dalam penggalnya. 

Khalid yang dikatakan mempunyai 'sembilan penyelamat' mampu bertahan dalam plot untuk menggulingkannya dengan mendapat sokongan daripada PAS.

Terdapat pelbagai campuran pendapat mengenai sama ada Khalid perlu diganti dalam mesyuarat yang diadakan Sabtu lalu, yang dipengerusikan oleh presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang untuk mendengar pandangan darpada pemimpin-pemimpin PAS Selangor.

Sumber yang mempunyai kedudukan yang baik dalam PAS Selangor berkata pandangan supaya 'Khalid diteruskan' mendominasi berbanding mereka yang mahu Khalid berundur.
Mereka yang hadir mesyuarat itu termasuklah empat ahli majlis eksekutif PAS negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen serta ketua-ketua bahagian.

Tidak banyak yang diperkatakan Hadi tetapi beliau memaklumkan dalam mesyuarat itu bahawa beliau akan mengambil kira semua pandangan.

Difahamkan, kira-kira pukul 11 malam hari yang sama, Hadi bersama-sama dengan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali pergi ke kediaman Khalid di Bukit Damansara, mungkin untuk menyampaikan pandangan tertentu kepada Menteri Besar.

Walau bagaimanapun, Mustafa ketika dihubungi mendakwa ia  semata-mata "kunjungan hormat selepas solat terawih".

"Tan Sri Khalid telah melawat Tuan Guru ketika beliau berada di IJN (Institut Jantung Negara) dan kami mahu membalas kunjungan itu. Kami berada di sana kira-kira satu jam, kami tidak membincangkan apa-apa isu-isu berat," kata Mustafa.

Sumber PAS Selangor berkata sebilangan besar daripada mereka yang mengadakan pertemuan dengan Hadi dan pemimpin-pemimpin PAS Selangor berpendapat bahawa khidmat Khalid hendaklah diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Pihak yang menyokong Khalid termasuklah Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco negeri Iskandar Samad, yang telah dinamakan sebagai pengganti untuk Khalid.

Mereka yang lain yang mempertahankan Khalid adalah Exco PAS negeri, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi. 

Iskandar, yang juga Exco Kerajaan Negeri, berkata adalah tidak masuk akal untuk menggantikan Khalid yang dilihat sebagai 'pemimpin yang bersih' dan 'tidak mengamalkan rasuah'.

Mereka yang lain yang menyokong Khalid berkata PAS tidak seharusnya diheret ke dalam apa yang mereka lihat sebagai "drama PKR" untuk menjatuhkan Khalid.

Mereka memberi amaran kepada kepimpinan tertinggi parti daripada terlibat dalam politik dalaman PKR.
mStar

No comments:

Post a Comment