ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: WAN AZIZAH PUJI & KRITIK PENTADBIRAN KHALID IBRAHIM

Saturday 23 August 2014

WAN AZIZAH PUJI & KRITIK PENTADBIRAN KHALID IBRAHIM


SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah memperuntukkan dana negeri bagi melaksanakan pelbagai program ekonomi di Selangor.

Bagaimanapun beliau tetap mempertikaikan Abdul Khalid yang dilihat perlu memberi perhatian terhadap isu berkaitan ‘sampah dan jalan raya’.

“Sungguhpun kita berbangga dengan pencapaian (Abdul Khalid) ini, kita juga harus prihatin bahawa isu-isu rakyat perlu diutamakan termasuk isu berkaitan sampah dan jalan raya.

“Jika kemudahan asas untuk rakyat negeri diabaikan, wang simpanan tidaklah begitu beri makna,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Kongres Nasional PKR ke-10 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata pentadbiran Selangor di bawah Abdul Khalid sering dikritik berikutan tidak melaksanakan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur walaupun kerajaan negeri mempunyai rizab tunai yang besar.

Beliau berkata, projek berkaitan infrastuktur perlu dilaksanakan supaya rakyat Selangor mendapat manfaat daripada dana kerajaan negeri.

Pada 4 Ogos lepas, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail telah menulis surat kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagi memberi penjelasan mengapa PKR mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar baharu menggantikan Abdul Khalid.

Dalam surat itu, antara alasan diberikan untuk menolak kepemimpinan Abdul Khalid kerana masalah sampah yang masih belum selesai dan kecenderungan beliau untuk menyimpan geran peruntukan sebagai hasil terkumpul kerajaan sehingga memberi kesan kepada kualiti jalan raya di negeri itu.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment