ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ELAUN GURU KAFA DIKAJI, BAKAL DINAIKKAN

Tuesday 16 September 2014

ELAUN GURU KAFA DIKAJI, BAKAL DINAIKKAN




Abdul Khalid Ibrahim SHAH ALAM – Kerajaan negeri dalam usaha menaikkan elaun guru Kafa daripada RM1,300 sebulan kepada RM1,500 bersesuaian dengan bebanan dan peningkatan kos hidup.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan Selangor telah meluluskan kenaikan daripada RM650 kepada RM1,300 setelah memikirkan pengorbanan dan keperluan guru Kafa.

“Kita faham tugas mendidik dan mengajar merupakan kerjaya sepanjang masa menyebabkan ada kalangan guru Kafa ini tidak berkesempatan melakukan kerja sampingan yang diharap memberi pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Negeri selepas merasmikan Program Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir Negeri Selangor, semalam.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri ingin mencadangkan kepada pusat supaya kadar elaun dinaikkan dalam masa sama memohon kajian menukar penerimaan gaji melalui sistem elaun kepada kenaikan gaji tahunan secara kontrak.

Jelasnya, golongan imam juga dicadangkan kenaikan elaun terutamanya di kawasan bandar besar.

“Ada di kalangan imam yang terpaksa meletak jawatan kerana perlu memilih kerjaya yang lebih memberi pendapatan bagi keselesaan dan kesenangan diri dan keluarga,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kuota guru takmir terkini pula seramai 142 orang berbanding keperluan yang diperuntukkan iaitu 190 untuk mengajar di masjid-masjid negeri berjumlah 400 masjid dan lebih 1,800 surau.

“Dengan populasi 5.78 juta penduduk negeri sudah tentu memerlukan pertambahan guru takmir dan Selangor memohon agar peruntukan dinaikkan kepada 300 keseluruhan dapat dipertimbangkan sewajarnya," katanya.

Sementara itu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau melihat secara serius masalah ketidakseimbangan guru agama dan jumlah masjid dan surau di Selangor dan akan cuba membantu dengan membuat penilaian melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, penglibatan golongan muda dalam bidang guru agama bukan masalah yang menjejaskan kerana negara mempunyai banyak sumber khususnya pelajar lepasan dalam mahupun luar negara.
SH

No comments:

Post a Comment