ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JUMLAH MANGSA BANJIR DI KELANTAN MENURUN SEDIKIT PAGI INI

Monday 22 December 2014

JUMLAH MANGSA BANJIR DI KELANTAN MENURUN SEDIKIT PAGI INI


KOTA BAHARU - Jumlah mangsa banjir di tujuh jajahan di Kelantan menurun sedikit daripada 18,570 orang Ahad malam tadi kepada 18,012 pagi Isnin.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa kini ditempatkan di 56 buah pusat pemindahan berbanding 65 pusat Ahad malam.

Mereka yang berpindah membabitkan 5,995 buah keluarga.

Jumlah mangsa di Pasir Mas bagimanapun meningkat sedikit iaitu 11,930 orang berbanding 11,408 orang malam tadi dan mereka ditempatkan di 32 buah pusat. Di Tumpat, jumlah mangsa berkurang kepada 4,712 orang berbanding 5,328 orang di tujuh pusat pemindahan.

Sementara jumlah mangsa yang dipindahkan di Kuala Krai menurun kepada 350 orang berbanding 814 orang yang ditempatkan di empat pusat, di Pasir Puteh (619 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (286 orang/enam pusat pemindahan), Machang (75 orang/dua buah pusat pemindahan) dan Kota Baharu (40 orang/satu pusat pemindahan).

Sungai-sungai utama dilaporkan terus menyusut namun bacaan paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 9 meter iaitu 10.42 meter.

Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir gelombang kedua di Kelantan sejak 16 Dis lalu masih kekal empat orang.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan cuaca pada sebelah pagi ini adalah mendung.

Di PAHANG, hujan berterusan menyebabkan lima pusat pemindahan banjir dibuka bagi menempatkan 141 mangsa daripada 33 keluarga di daerah Kuantan.

Jurucapak Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, Balai Polis Sungai Lembing menjadi penempatan mangsa banjir paling ramai iaitu 40 orang daripada sembilan keluarga selepas kediaman mereka di Sungai Lembing dinaiki air.

"Manakala empat lagi pusat yang dibuka di daerah ini ialah Sekolah Kebangsaan Cherating yang menempatkan 31 orang daripada lapan keluarga, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan (27 orang daripada lima keluarga), Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (24 orang daripada enam kelaurga) dan Balai Raya Kampung Chendor (19 orang daripada lima keluarga).

Katanya dua jalan utama di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Maran dan Kilometer 24 Jalan Kuantan-Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan manakala jalan di Simpang Kempadang Makmur ditutup kepada kenderaan ringan.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang mengesahkan tiada daerah lain yang merekodkan mangsa pemindahan banjir.

Dalam pada itu laman web Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan dua batang sungai di Pahang telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Kuantan di Bukit Kenau setinggi 22.31 meter yang melepasi paras amaran 20.75 meter dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan setinggi 69.08 meter yang melepasi paras amaran 66.00 meter.

Di TERENGGANU, keadaannya secara umum tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa meningkat 4,687 orang pagi ini berbanding 4,375 orang Ahad malam berikutan air pasang menaiki kawasan rendah.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, ia melibatkan 1,195 keluarga yang ditempatkan 41 pusat pemindahan.

Dungun masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,029 orang diikuti Kemaman 1,177 orang, Kuala Terengganu 893 orang dan Besut 319 orang.

Di Hulu Terengganu 211 orang, Marang 36 orang dan Setiu 22 orang.

Sebanyak 41 pusat masih dibuka iaitu tiga masing-masing di Besut dan Hulu Terengganu; 16 di Dungun; 11 di Kemaman; 5 di Kuala Terengganu; 2 di Setiu dan satu di Marang.

Cuaca di sebelah pagi adalah mendung beserta angin kencang.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment