ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #RCISABAH : TERMA RUJUKAN JAWATANKUASA DIUMUMKAN

Monday 22 December 2014

#RCISABAH : TERMA RUJUKAN JAWATANKUASA DIUMUMKAN


KOTA KINABALU – Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan terma-terma rujukan (TOR) bagi Jawatankuasa Tetap dan Jawatankuasa Kerja seperti disyorkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan  Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima terma rujukan bagi Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ialah meneliti dan mengkaji dapatan dan isu-isu RCI dengan tumpuan untuk penambahbaikan di masa akan datang.

Terma lain ialah meneliti maklumbalas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah melalui forum serta konsultasi berhubung pengurusan warga asing di Sabah; mengkaji pelaksanaan pengurusan pendatang asing di Sabah;  dan mengemukakan syor ke atas kedudukan pendatang asing mengikut peraturan dan undang-undang.

Terma terakhir bagi Jawatankuasa Kerja ialah menyediakan pelan tindakan dalam mengatasi isu masalah pendatang asing dari segi sosial, ekonomi, keselamatan dan lain-lain.

Ahmad Zahid juga mengumumkan bahawa setiausaha bersama bagi Jawatankuasa Kerja berkenaan ialah Setiausaha Persekutuan Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Tiga terma rujukan bagi Jawatankuasa Tetap yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah ialah meneliti syor dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja dan memperakukan syor untuk pertimbangan jemaah menteri serta memantau pelaksanaan ke atas keputusan-keputusan jemaah menteri.

Ahmad Zahid juga turut mengumumkan anggota-anggota di bawah Jawatankuasa Kerja iaitu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia(JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah, Majlis  Keselamatan Negara dan Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Anggota-anggota lain dalam jawatankuasa berkenaan ialah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Pelabuhan Sabah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Peguam Besar Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan (jemputan  mengikut keperluan).

Anggota di bawah Jawatankuasa Tetap pula ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), ahli akademik, badan bukan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Anggota-anggota lain ialah PDRM, Peguam Besar Negeri, Exco Kerajaan Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JIM, Ketua Pengarah JPN, Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah, Esscom dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Setiausaha bersama bagi Jawatankuasa Tetap ialah Setiausaha Persekutuan Sabah dan Setiausaha Kerajaan  Negeri Sabah.

Sementara itu, Ahamd Zahid berkata kedua-dua jawatankuasa berkenaan sudah pun mengadakan mesyuarat tidak rasmi pertamanya pada hari ini.
Credit : klxpress

No comments:

Post a Comment