ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERKINI : KEADAAN BANJIR DI PANTAI TIMUR !!!

Wednesday 17 December 2014

TERKINI : KEADAAN BANJIR DI PANTAI TIMUR !!!


Keadaan banjir di tiga negeri hari ini menyaksikan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 526 orang pagi ini berbanding 19 orang semalam manakala di Terengganu, keadaan banjir semakin surut dan Pahang membuka pusat pemindahan pertama di Kempadang, Kuantan.

Di Kota Bharu, menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri tujuh pusat pemindahan dibuka di Jeli dengan 69 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalai, 36 orang di SK Jeli (1), 33 orang di Dewan Umno Sungai Satan.
    
Sebanyak 149 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, 132 orang ditempatkan di Masjid Gemang, 48 orang ditempatkan di SK Batu Melintang dan 40 orang ditempatkan di Tadika Lakota.
    
Kampung yang terlibat ialah Kampung Ayer Lanas, Kampung Sungai Satan, Kampung Gemang, Kampung Kalai, Kampung Lalat dan Kampung Lakota.
    
Jumlah mangsa banjir di SK Wakaf Raja di Pasir Puteh kekal 19 orang pagi ini.
    
Menurut portal banjir kerajaan negeri, bacaan air Sungai Golok di Jenob di Tanah Merah setakat 9 pagi ini melepasi paras bahaya iaitu 24.88 meter (bahaya 23.50)
    
Sungai-sungai utama lain masih belum melepasi paras bahaya dan tiada jalan yang ditutup.
 
Di Kuala Terengganu, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri, keadaan banjir di Terengganu kembali surut dan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 505 orang pagi ini berbanding 1,139 malam tadi.
    
Daerah Besut telah pulih banjir sepenuhnya dan pusat penempatan di Masjid Teluk Bayu telah ditutup dan lapan mangsa dibenarkan pulang.
    
Portal itu berkata daerah Kemaman yang merupakan daerah paling teruk terjejas menyaksikan jumlah mangsa menurun kepada 353 orang berbanding 422 orang malam tadi.
    
Sembilan pusat pemindahan di daerah itu masih dibuka sehingga pagi ini.
   
Sementara itu, tiga lagi daerah yang turut terjejas iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Setiu tidak banyak berubah berbanding semalam.
    
Di Kuala Terengganu sebuah pusat masih beroperasi di Dewan Seri Budi yang menempatkan 22 mangsa sementara di Marang, mangsa menurun daripada 163 orang kepada 108 dan di daerah Setiu, mangsa juga berkurangan daripada 22 orang berbanding 36 sebelum ini yang ditempatkan di dua pusat. 
    
Di Kuantan, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata pusat pemindahan pertama mangsa banjir di daerah Kuantan, iaitu di SK Kempadang dibuka 8 pagi ini untuk menempatkan 32 mangsa daripada lapan keluarga selepas kediaman mereka di PPRT Kempadang dinaiki air.
    
"Setakat ini hanya kawasan berkenaan yang menempatkan mangsa di pusat pemindahan bagi daerah Kuantan selepas hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.
    
"Tiada kemalangan dilaporkan berlaku dan semua jalan di daerah ini masih boleh dilalui oleh semua kenderaan," katanya yang dihubungi ketika sedang melakukan tinjauan di kawasan pemindahan berkenaan.
    
Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ketika dihubungi mengesahkan tiada pemindahan mangsa banjir yang dilaporkan berlaku bagi lain-lain daerah di negeri berkenaan.
    
Kerajaan negeri Pahang mengadakan persiapan lebih rapi untuk menghadapi musim banjir dengan perancangan lebih proaktif termasuk menyiapkan 629 pusat pemindahan banjir dengan bekalan makanan lebih awal. 
    
Sejumlah 140,000 mangsa banjir dijangka boleh ditempatkan di 629 pusat pemindahan tersebut dan antara pusat pemindahan itu ialah di Temerloh 82 pusat, Kuantan (79), Pekan (88), Rompin (35) dan Cameron Highlands (20). Bernama

No comments:

Post a Comment