ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JERITAN SAYU MINTA TOLONG SEBELUM RETUNG

Friday 23 January 2015

JERITAN SAYU MINTA TOLONG SEBELUM RETUNG


"Mamat, tolong aku, tolong aku." Demikian jeritan sayu meminta tolong berulang kali dilaungkan Joeri Ramli, 34, kepada rakannya sebelum dia menemui ajal selepas terperangkap dalam kereta yang terbakar akibat dilanggar dari belakang oleh treler 60 tan di Kilometer 254.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara 

Dalam kemalangan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, rakan mangsa, Muhammad Nasrullah Abd. Ghaffar, 28, yang duduk di bahagian penumpang hadapan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan berlaku apabila treler dengan muatan barang besi yang dipandu di lorong kanan hilang kawalan ekoran brek tidak berfungsi semasa menuruni laluan bukit.

Ini menyebabkan treler ber­kenaan melanggar dan mengheret tiga buah kereta di hadapannya sebelum dua buah kereta terbabas ke kiri namun kereta mangsa, Honda Civic diseret sejauh kira-kira satu kilometer dan terbakar.

Menurut Muhammad Nasrullah atau Mamat, dia dan beberapa orang awam cuba membantu mangsa yang tersepit di dalam keretanya yang terbakar namun gagal ekoran api terlalu marak.

Katanya, dia melihat rakannya meronta-ronta cuba melepaskan diri sambil menjerit me­minta tolong.

“Saya cuba membantu tetapi gagal. Semasa cuba menarik tangannya, saya cuma dapat kulitnya sahaja.

“Saya sedih dan menangis, waktu itu saya tidak dapat buat apa-apa. Saya dan orang awam yang lain hanya mampu menjerit me­minta dia supaya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mamat, dia dan Joeri dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar sebelum mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang akibat dirempuh sebuah treler.

Katanya, semasa rempuhan pertama, Joeri masih mengawal kenderaannya.

“Namun apabila sekali lagi dirempuh, kereta kami berpusing melintang jalan dan diseret oleh treler sebelum berhenti. Ini menyebabkan Joeri tersepit manakala saya berjaya keluar dengan bantuan orang ramai.

“Dalam masa dua minit, api dari kepala lori terus merebak dan menyambar kereta kami,” ujarnya.

Sementara itu, rakaman video berdurasi 40 saat kemalangan itu yang kini viral di laman sosial menyaksikan beberapa lelaki termasuk Mamat cuba memadamkan kebakaran dengan menyimbah air ke arah api yang sedang marak.

Apa yang menyayatkan hati ialah keadaan mangsa melambai-lambaikan tangan meminta tolong dalam kereta yang sedang terbakar turut dirakamkan.

Menerusi video itu juga kedengaran je­ritan orang yang cuba membantu: “Ya Allah, mati, Ya Allah. Allahuakbar lailahaillallah mengucap bang mengucap, abang mengucap abang, abang mengucap abang, abang mengucap abang.

“Ya Allah Tuhanku, ampunkanlah dosanya, Ya Allah ampunkanlah dosanya Ya Allah

Al fatihah



No comments:

Post a Comment