ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS-DAP TERUS BERCAKARAN

Monday 19 January 2015

PAS-DAP TERUS BERCAKARAN


Episod perbalahan antara Pas dan DAP berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan berterusan sehingga mengheret pimpinan kedua-dua parti tersebut dalam kancah pertikaman lidah secara terbuka.

Krisis semakin hangat apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengecam DAP kerana membuat keputusan untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempat­an (PBT) di Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Beliau mendakwa, DAP tidak pernah membentangkan cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT dalam majlis pimpinan pakatan pembangkang justeru, bantahan parti itu terhadap pelaksanaan hudud boleh dianggap sebagai cakap tak serupa bikin.

“Isu hudud pula berbeza kerana pakatan pembangkang pernah membincangkannya dalam mesyuarat dan kita bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Kita juga memperakui soal hudud mengatasi pakatan pembangkang kerana undang-undang itu telah diluluskan di Kelantan sebelum pakatan pembangkang wujud,” katanya.

Mustafa menambah, DAP sepatutnya sedar Pas perlu menunaikan janjinya untuk melaksanakan hudud di Kelantan setelah mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada 1990.

Rabu lalu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menegaskan hasrat Pas untuk melaksanakan hudud perlu dikritik pihaknya secara terbuka kerana perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dipersetujui majlis pimpinan pakatan pembangkang.

Malah, Anthony menegaskan, cadangan pelaksanaan hudud di mana-mana negeri di Malaysia bukan dasar bersama yang dipersetujui dalam pakatan itu.

Sebelum itu, Mustafa dalam wawancara bersama akhbar Sin Chew Daily Isnin lalu menyatakan, pimpinan DAP sering memburuk-burukkan Pas.

Mustafa juga menuduh DAP telah melupakan hasrat pakatan pembangkang menguasai Putrajaya kerana berpuas hati selepas menguasai Pulau Pinang serta meraih sokongan besar pengundi Cina.

No comments:

Post a Comment