ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 1MDB : SEKIRANYA ADA PENYELEWENGAN, PASTI DIKESAN

Monday 16 March 2015

1MDB : SEKIRANYA ADA PENYELEWENGAN, PASTI DIKESAN


KUALA LUMPUR - Ketelusan operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam melaksanakan objektif penubuhannya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana penyata kewangannya kini terbuka untuk siasatan.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sekiranya berlaku sebarang penyelewengan, sudah pasti Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan terlepas pandang.

"Audit forensik yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa akan menyukarkan 1MDB melindungi urusan perjalanan syarikat itu.

"Sebarang langkah-langkah yang meragukan akan dipersoalkan Jabatan Audit Negara dan PAC yang berkuasa menyoal siasat sesiapa sahaja berhubung urusan syarikat (1MDB) sejak penubuhan pada 2009," katanya seperti dipetik dalam portal rasmi BNBBC hari ini.

1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan pada 2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan penyelewengan pengurusan kewangannya.

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lepas, telah mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan secara bebas akaun syarikat itu.

"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Shahrir, yang juga anggota Parlimen Johor Baharu berkata, pengurusan 1MDB masih dilihat berdasarkan matlamat serta objektif awal penubuhannya sebagai pelaksana idea strategik dan mempunyai strategi jelas dari segi penjanaan kewangan serta struktur urus tadbirnya.

Bagaimanapun beliau dipetik portal itu sebagai berkata 1MDB menjadi isu lantaran strategi penambahan 'rencah' laporan seperti menggunakan personaliti tertentu serta pembabitan syarikat antarabangsa dari Timur Tengah.

"Penggunaan istilah-istilah pilihan seperti memindahkan wang (siphoning), disiasat (investigated) yang digabungkan dengan nama-nama personaliti menyebabkan 1MDB menjadi isu menarik untuk diperbahaskan," katanya lagi.

  Bagaimanapun, Shahrir menegaskan kepada portal itu bahawa, dari segi aliran tunai, keadaan akaun 1MDB masih lagi stabil, dan beliau mendapati terdapat beberapa fakta yang tidak tepat dilaporkan mengenai syarikat itu menyebabkan ia begitu diragui.

"Untuk rekod, 1MDB mencatatkan keuntungan RM424 juta pada 2010, RM544 juta pada 2011, menyusut kepada RM44 juta kepada 2012, untung melonjak RM778 juta pada 2013 namun mencatatkan kerugian RM665 juta pada 2014," katanya.

Malahan, katanya lagi, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek Tun Razak Exchange dianggarkan mencecah RM26 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun manakala Sungai Besi memiliki GDV sehingga RM35 bilion bagi tempoh 15 hingga 20 tahun.

Walaupun mempunyai aset-aset yang menjamin keuntungan jangka panjang,  Shahrir berpandangan bahawa 1MDB perlu meneliti semula pelan perniagaannya untuk terus melangkah ke hadapan.

"Untuk masa kini, 1MDB perlu diasuh sepertimana yang dilakukan Khazanah Nasional terhadap syarikat-syarikat yang berdepan masalah sewaktu krisis ekonomi 1997.  

"Situasi persekitaran masa hadapan adalah sukar namun jika diasuh, 1MDB pasti mampu bangkit sepertimana dibuktikan Khazanah Nasional menerusi kejayaan pelbagai syarikat sebelum ini," katanya dalam portal itu.
Bernama

No comments:

Post a Comment