ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KISAH PEMUDA JUJUR DAN AMANAH

Saturday 7 March 2015

KISAH PEMUDA JUJUR DAN AMANAH

Kuala Lumpur: Seorang pemuda bukan saja sanggup bersusah payah membuat status di Facebook mengenai penemuan dompet seorang pensyarah di gerainya, malah bersikap amanah dan sanggup menggantikan wang pensyarah itu yang hilang.

Pensyarah terbabit, Nurul Hafeeza Juma’ah, 36 berkata, dia bersyukur dompetnya ditemui semula dan bertuah kerana pemuda berkenaan Muhammad Hazwan Baba, 26, yang juga penolong pengurus restoran Tuuu... Dia Pak Tam berusaha keras untuk memulangkan semula dompetnya, selain menggantikan wangnya yang hilang.

“Selepas pulang daripada menghadiri mesyuarat di Cameron Highlands, Ahad lalu saya dan beberapa rakan berhenti makan di Restoran Tuuu... Dia Pak Tam di Hentian Rehat dan Rawat (RNR), Tapah pada 5 petang, Ahad lalu.

“Saya hanya menyedari dompet saya yang berisi kad pengenalan, kad kredit dan wang tunai RM470 itu hilang selepas tiba di rumah di Subang Jaya, pada 10 malam.

“Saya panik dan kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan polis memaklumkan akan membuat sisatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.

Katanya, keesokannya dia terkejut apabila seorang lelaki tiba-tiba menghantar pesanan menerusi laman Facebook dengan menggunakan nama Muhammad Hazwan.

“Dia (Muhammad Hazwan) memaklumkan bahawa salah seorang pekerja di restoran Tuuu..Dia Pak Tam menemui dompet saya, malah dia memuat naik status di Facebook mencari pemilik dompet yang ditemui sebelum ia menjadi ‘viral’ di laman sosial.

“Dia akhirnya menemui akaun Facebook saya dan menghantar pesanan. Tak sangka masih ada insan yang jujur dan amanah untuk memulangkan semula wang tunai RM470 dan dompet saya.
“Sekarang ini, macam-macam perkara boleh berlaku tapi saya lihat dia ikhlas nak tolong,” katanya.

Katanya, dia akan mengambil semula dompetnya itu esok berikutan kekangan masa bekerja.

Sementara itu, Hazwan berkata, dompet milik Nurul Hafeeza itu ditemui salah seorang pekerjanya pada Isnin lalu iaitu sehari selepas kejadian.

“Pekerja itu datang dan maklum pada saya dia menemui dompet berisi wang tunai RM470 di bawah meja restoran dan berjanji untuk menyerahkannya kepada saya pada keesokan hari.

“Pada Selasa lalu, apabila pekerja itu datang menyerahkan dompet berkenaan, dia memakumkan wang tunai RM470 itu tidak ada padanya.
“Saya tidak mahu menuduhnya mencuri wang itu tapi mungkin dia sudah menggunakannya untuk tujuan lain.

“Saya berjanji akan menggantikan dan membayar wang itu kepada Nurul Hafeeza semula. Saya anggap itu sebagai amanah dan perlu dilakukan sebaiknya,” katanya.
hmetro

No comments:

Post a Comment