ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: USTAZ AHMAD FATHAN ADA KELEBIHAN DI DUN CHEMPAKA

Friday 13 March 2015

USTAZ AHMAD FATHAN ADA KELEBIHAN DI DUN CHEMPAKA

Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad

TANAH MERAH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan yakin calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood mempunyai kelebihan besar menang PRK Dun Chempaka, 22 Mac ini.

Ketuanya, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, selain calon anak tempatan, peluang Pas untuk menang cukup besar kerana Dun berkenaan adalah kubu kuat parti itu dan BN selaku lawan terkuat tidak bertanding.

Katanya, perwatakan, peribadi dan latar kehidupan Ahmad Fathan juga memberikan kelebihan tersendiri kepada calon itu untuk menambat hati pengundi serta mengekalkan tradisi kemenangan Pas di Dun berkenaan.

“Beliau anak tempatan dan tidak asing lagi bagi penduduk Pengkalan Chepa terutama Dun Chempaka. Walaupun dalam usia pemuda, beliau banyak bergaul dengan semua lapisan masyarakat.

“Saya merasakan bahawa kemenangan telah pun berpihak kepada Pas, apatah lagi pencabar (calon Bebas) yang ada pada pilihan raya kecil kali ini tidak sehebat atau sekuat BN,” katanya, semalam.

PRK Dun Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 12 Februari lalu, menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon Bebas, iaitu, Izat Bukhary Ismail Bukhary, Shariff Mahmood, Fadzillah Hussin dan Aslah Mamat.

BN tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah negeri ini dilanda banjir luar biasa pada akhir Disember, tahun lalu.

Pada pandangan AMK pula, Mohd Hafidz Rizal berkata, jika dilihat pada biodata serta peribadinya, Ahmad Fathan calon paling tepat dan amat sesuai bagi meneruskan legasi Nik Abdul Aziz di Dun berkenaan.

“AMK Kelantan dari awal lagi menyatakan, kami akan menyokong sepenuhnya sesiapa sahaja yang dicalonkan di Dun Chempaka bagi menggantikan tempat Tok Guru Nik Abdul Aziz.

“Ini kerana bagi kami, dalam isu pemilihan calon, setiap parti dalam PR lebih maklum dari segi menilai kelayakan dan kredibiliti mereka yang mampu mengabdikan diri kepada rakyat,” katanya.

Justeru, katanya, AMK negeri menyatakan hasrat untuk membantu calon Pas dari segi jentera pilihan raya dan kempen menerusi beberapa penyelarasan yang dibuat dengan Pemuda Pas Kelantan.

“Saya sendiri hubungi Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Hafiz Musa bagi menyatakan hasrat AMK ingin membantu termasuk menjayakan siri penerangan dan ceramah berkelompok yang diatur Pemuda Pas negeri,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment