ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK PERMATANG PAUH : TINDAKAN 'U-TURN' PEMUDA PAS SEOLAH -OLAH MERELAKAN PARTI ITU DIHINA

Wednesday 29 April 2015

PRK PERMATANG PAUH : TINDAKAN 'U-TURN' PEMUDA PAS SEOLAH -OLAH MERELAKAN PARTI ITU DIHINA



BUKIT MERTAJAM – Tindakan Pemuda Pas Pulau Pinang dan Pas Permatang Pauh membatalkan hasrat memboikot pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon adalah memalukan, tegas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang itu berkata, ia seolah-olah membiarkan parti itu serta presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus dihina parti-parti dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi selepas mereka dikritik berhubung isu pelaksanaan hudud.
reezal-merican-kepala-batas-penamaan-permatang-pauh-prk
“Saya anggap apa yang dilakukan Pas akan sebabkan mereka hilang rasa hormat (daripada parti komponen dalam pakatan) kerana mereka tidak istiqamah, dulu mereka lakukan kerana presiden mereka dihina,” katanya pada sidang media harian jentera BN bersempena PRK Permatang Pauh, di pusat operasi BN di sini hari ini.
Bagaimanapun Anggota Parlimen Kepala Batas itu sekali lagi menegaskan, kemelut yang melanda Pakatan Rakyat sama sekali bukan faktor utama dalam menjamin kemenangan BN pada PRK itu.
Beliau berkata, walaupun krisis itu mempengaruhi sentiment pengundi, BN akan terus komited dalam kempen penerangan, terutamanya dalam isu cukai barang dan perkhidmatan (CBP) serta isu kos sara hidup.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPNPP) hari ini membatalkan hasrat memboikot PRK Parlimen Permatang Pauh namun bertegas mahu Angkatan Muda Keadilan negeri memohon maaf berhubung kenyataan mereka memfitnah pimpinan PAS berhubung hukum hudud.
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Md Piah berkata, keputusan itu diambil selepas menghadiri mesyuarat tergempar antara DPPNPP dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ir Khairil Nizam Khirudin lewat malam tadi
Pada 25 April lepas, PAS Permatang Pauh yang turut melahirkan hasrat memboikot PRK itu, menarik balik keputusannya selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR pada malam sebelumnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kempen jentera BN Permatang Pauh yang memasuki hari kelima hari ini, Reezal Merican berkata, mereka menerima reaksi positif masyarakat setempat, terutamanya pengundi yang tinggal di kawasan dianggap ‘hitam’ dan ‘kelabu’.
“Terdapat perubahan ketara, dilihat melalui sambutan mereka bila mana kita lawat rumah ke rumah … ada rumah yang menyangkut bendera parti (pihak lawan), tapi bila kami datang, kami dijemput masuk, itu adalah isyarat yang positif,” katanya.
Namun, Reezal Merican menegaskan, jentera BN sama sekali tidak akan berasa selesa, sebaliknya terus memperhebatkan kempen penerangan dalam usaha memastikan rakyat diberi penjelasan secukupnya mengenai isu-isu semasa.
“Seperti yang TPM (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin) tegaskan, kami (BN) adalah ‘underdog’, dan kami menurunkan calon anak setempat yang dijamin akan menumpukan kerja di sini.
“Sekurang-kurangnya rasai kelainan, nikmatilah perbezaan dan seandainya kami gagal dalam tempoh tiga tahun (sebelum pilihan raya umum seterusnya), maka terpulang pada masyarakat untuk menilai,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mendedahkan terdapat usaha sulit yang cuba mengaitkan jentera BN dengan kempen berunsur keagamaan apabila laporan daripada portal propembangkang bahawa BN telah menaikkan papan iklan kononnya cuba memainkan isu kebencian pada agama tertentu.
“…kita amalkan kempen secara bersih, sampai hari ini BN tidak ada mencaci cela mana-mana individu, agama atau apa jua kumpulan,” katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri
Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat. - mediaUMNO

No comments:

Post a Comment