ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ADUN PAKATAN DESAK AZMIN UMUM SELANGOR DITADBIR PAKATAN HARAP

Tuesday 3 November 2015

ADUN PAKATAN DESAK AZMIN UMUM SELANGOR DITADBIR PAKATAN HARAP


Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali didesak mengiktiraf kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri Selangor.
Adun DAP Kampung Tunku Lau Weng San mahu Azmin perlu mengiktiraf kerajaan PH kerana kerajaan Negeri Selangor sekarang dipimpin oleh PKR, DAP, Amanah, dan masih mengiktiraf PAS sebahagian daripada kerajaan negeri.
"Satu fakta yang harus diterima ialah kerajaan Selangor sekarang dipimpin oleh PKR, Amanah, Dap dan PAS. PKR, Dap dan Amanah pula bergabung di bawah Pakatan Harapan. Oleh itu, MB perlu tegas bahawa kerajaan Selangor sekarang bernama kerajaan Pakatan Harapan," katanya ketika sidang media di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Weng San yang juga merupakan Penolong Bendahari Selangor berkata, kerajaan negeri Selangor juga haruslah bersifat terbuka sekiranya terdapat Adun daripada PAS yang menyokong agenda perjuangan Pakatan Harapan dan tidak ingin bekerjasama dengan UMNO.
"Mereka (Adun PAS) yang tidak ingin bekerjasama dengan UMNO haruslah diterima untuk kekal dalam kerajaan Pakatan Harapan Selangor.
"Sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul. Oleh sebab itu, pengiktirafan yang sewajarnya harus diberi kepada Pakatan Harapan dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Ketegangan PAS dan DAP Selangor bermula apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat kenyataan bahawa Pas bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan sekiranya Umno mengubah dasar pemerintahan mereka.
Beliau berkata perjuangan PAS kini berpaksi kepada mengubah dasar pemerintahan kerajaan, bukan semata-mata ingin merebut jawatan dan mahu memerintah negara, lapor Sinar Harian hari ini.
"PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya UMNO ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan,"kata Hadi.
Sehubungan itu, seorang perwakilan DAP ketika Majlis Konvesyen DAP Selangor 2015/2016 telah mencadangkan kepada pimpinan tertinggi parti itu untuk memberi tempoh kepada Menteri Besar Selangor untuk memecat wakil rakyat PAS daripada kerajaan negeri.
Pengerusi  DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong, berkata sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat PAS Selangor, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.
"Kita mendesak kerana PAS sudah memungkiri janji dalam Pakatan Harapan, jadi kita mahu pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Azmin untuk pecat wakil rakyat PAS ataupun DAP perlu keluar dari pentadbiran tersebut," katanya seperti dilaporkan.
Bagaimanapun, semalam, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menganggap gesaan seorang perwakilan DAP agar exco PAS digugurkan daripada kerajaan negeri bukan pendirian rasmi DAP.
Beliau berkata kerajaan negeri masih berpegang pada pendirian Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa parti itu akan terus bersama PAS dan PKR untuk berkhidmat kepada rakyat.

"DAP Selangor atau seorang perwakilan? Boleh anda jelaskan? Saya ambil pendirian yang telah dibuat dan dinyatakan oleh Lim Guan Eng.
"Bahawa DAP akan terus bersama-sama dengan PAS dan PKR untuk meneruskan khidmat dan menentukan kita dapat memberikan khidmat kepada rakyat seperti kita janjikan pada 2013. Itu keputusan DAP.
"Anda tidak boleh ambil satu pendapat dari seorang perwakilan dan anda berdepan dengan saya. Saya tak fikir itu adil," kata Mohamed Azmin.
AgendaDaily

No comments:

Post a Comment