ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERKHIDMATAN KERETA API PANTAI TIMUR DIJANGKA PULIH PERTENGAHAN TAHUN DEPAN

Tuesday 1 December 2015

PERKHIDMATAN KERETA API PANTAI TIMUR DIJANGKA PULIH PERTENGAHAN TAHUN DEPAN


KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan perkhidmatan kereta api di Pantai Timur yang terjejas teruk akibat banjir Disember tahun lepas, dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, perkhidmatan itu akan pulih setelah jambatan kereta api di Kemubu, Kelantan yang mengambil masa setahun setengah untuk dibaik pulih siap.
"Selain itu, KTMB juga telah menyambung semula perkhidmatan tren antara bandar di Pantai Timur secara berfasa bermula 12 dan 13 Julai lepas bagi sektor Kemubu-Krai-Kemubu dan JB Sentral-Gua Musang-JB Sentral setelah kerja-kerja pemulihan sementara landasan kereta api siap dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai Mei lepas," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaffar (PKR-Tumpat) mengenai sama ada kerajaan berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan kereta api laluan Kuala Lumpur-Tumpat sebagai usaha terakhir untuk menghidupkan semula serta memajukan laluan tersebut.
Abdul Aziz berkata, pada fasa kedua pula melibatkan perkhidmatan tren ulang-alik bagi sektor Tumpat-Krai-Tumpat telah beroperasi semula pada 31 Ogos lepas.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan dana sejumlah RM785.6 juta bagi membaik pulih infrastruktur landasan di sektor Pantai Timur iaitu sejumlah RM419.5 juta bagi projek membaik pulih landasan bagi sektor Gemas ke Tumpat, manakala baki RM366.1 juta bagi program pemulihan stesen dan infrastruktur terjejas akibat banjir.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak berhasrat untuk menswastakan perkhidmatan kereta api dari Kuala lumpur ke Tumpat, sebaliknya keutamaan bagi menaik taraf dan membaik pulih kerosakan rangkaian kereta api akibat bencana banjir tahun lepas bagi jajaran Gemas ke Tumpat. 
Menjawab soalan Kamaruddin mengenai rancangan jangka panjang kerajaan untuk menaik taraf perkhidmatan kereta api di kawasan Pantai Timur, beliau berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi membina landasan terus dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.
Langkah itu, katanya bagi memendekkan jarak perjalanan perkhidmatan kereta api ke kawasan Pantai Timur dari jajaran Pantai Barat Semenanjung. 
"Buat masa ini perkhidmatan kereta api untuk ke Pantai Timur terpaksa turun ke selatan melalui Gemas dan baru naik semula, maka kerajaan jalankan kajian untuk memendekkan perjalanan ini," katanya. 
Dalam pada itu menjawab soalan Datuk Noraini Ahamd (BN-Parit-Sulong), Abdul Aziz berkata, KTMB sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana banjir pada akhir tahun ini. 
"Setakat ini Alhamdulillah pihak KTMB telah buktikan apabila banjir berlaku di Pantai Timur, dalam waktu singkat perkhidmatan kereta api telah dapat pulihkan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment