ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TUDUH PAS MILITAN KETERLALUAN

Wednesday 2 December 2015

TUDUH PAS MILITAN KETERLALUAN

Nasrudin Hassan

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan kononnya Pas terlibat dengan militan IS dan gerakan pengganas lain adalah tuduhan yang sangat jahat dan keterlaluan.

Menurutnya, tuduhan begitu sudah lapuk kerana sering dilemparkan kepada Pas sejak awal penubuhan parti itu.

Kata Nasrudin lagi, Pas adalah sebuah parti politik yang berdaftar dalam negara dan mengamalkan sistem demokrasi. 

“Saban tahun kita menghantar laporan aktiviti dan rutin kedudukan organisasi kepada ROS (Pendaftar Pertubuhan). Malah aktiviti Pas adalah di pentas politik terbuka. 

“Kita (Pas) bukan gerakan subversif apatah lagi militan. Saya percaya pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) ataupun (pihak) keselamatan negara lain sentiasa memantau pergerakan Pas,” katanya semalam. 

Kata beliau lagi, komitmen Pas adalah bergerak di pentas demokrasi dan mendukung Perlembagaan negara

“Alhamdulillah, sehingga kini Pas tidak pernah dibuktikan terlibat dengan gerakan keganasan,” katanya. 

Malah katanya, dalam isu serangan dan pengeboman di Paris, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin Pas segera ke Kedutaan Perancis untuk melahirkan simpati dan mengutuk keganasan yang berlaku.

Beliau turut menyifatkan tuduhan terhadap Pas oleh mereka yang keluar dari parti itu sebagai lucu. 

“Baru beberapa bulan mereka keluar Pas, tiba-tiba Pas jadi militan? Jadi IS? Lalu mereka menyelongkar kisah silam kononnya sebagai bukti Pas ganas?

“Sedang sekian lama mereka berteduh di bawah payung Pas. Semasa mereka berteduh, sekian lama di bawah bendera Pas, Pas dijulang oleh mereka sebagai demokratik. Tetapi, bila mereka keluar, tak sampai empat bulan, Pas jadi ganas hanya dengan satu dua kes silam yang diangkat kembali secara tanggapan yang salah," katanya.

Kelmarin, sebuah portal berita melaporkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendedahkan mereka keluar dari Pas dan menubuhkan parti baharu kerana Pas sudah diresapi pemikiran militan IS.

Dakwa Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu lagi, pemikiran itu jika tidak dibendung bukan sahaja bahaya kepada Pas malah kepada keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment