ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: FOMCA CADANG TUBUH AGENSI KHAS KESELAMATAN ESKALATOR

Saturday 13 February 2016

FOMCA CADANG TUBUH AGENSI KHAS KESELAMATAN ESKALATOR


Satu agensi khas keselamatan eskalator di pusat membeli-belah seluruh negara perlu ditubuhkan, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selvaraj.

Jelasnya, ketika ini, beliau tidak melihat wujudnya satu badan khas yang bertanggungjawab memantau keselamatan pengguna semasa menaiki kemudahan itu.

"Ketika ini tidak ada satu agensi khas yang menjaga jentera yang digunakan oleh pengguna kerana ini ada risiko untuk kanak-kanak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Menurut Paul, langkah itu penting susulan kemalangan di eskalator yang kerap berlaku terutama melibatkan kanak-kanak.

Sebaliknya, jelas beliau, jabatan sedia ada lebih menumpukan soal keselamatan pekerja.

"Memang ada jabatan (berkenaan) tetapi itu untuk kepentingan pekerja. Namun untuk pengguna kurang. Oleh itu keselamatan biasanya dijaga oleh kerajaan tempatan. Persoalan kita, mana kepakaran mereka untuk memastikan ia selamat?" kata Paul lagi.

Bagaimanapun katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka semasa menaiki eskalator di pusat-pusat membeli belah.  

"Keselamatan kanak-kanak itu boleh ditingkatkan ibu bapa. Kalau takut, mereka boleh guna lift. Namun, mereka perlu pastikan tingkat keselamatan anak mereka diutamakan," tambahnya.

Pada masa sama, pengusaha pusat membeli-belah dicadangkan agar meletakkan papan tanda amaran atau peraturan menaiki ekslator bagi memberi ingatan kepada ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka semasa menggunakan kemudahan itu.

"Ada pusat beli-belah yang meletakkan tanda (amaran), namun ada juga yang tidak meletakkannya. Ia penting untuk beri mesej keselamatan kepada ibu bapa dan orang ramai boleh membacanya dengan mudah," ujarnya.

Justeru katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing demi keselamatan masing-masing dan tidak merisikokan nyawa kanak-kanak.

Dalam kejadian terbaru Selasa lalu, bahagian kaki seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun tersepit di eskalator di KL Sentral.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika budak lelaki itu keluar bersama keluarganya.

Enam anggota Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dari Balai Bomba Pantai dan berjaya mendapatkan semula bahagian kaki kanak-kanak berkenaan kira-kira dua jam kemudian.
Astro AWANI

No comments:

Post a Comment