ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS KUNCI UTAMA KEMENANGAN BN DALAM PRU14, KATA PENGANALISIS

Saturday 16 December 2017

PAS KUNCI UTAMA KEMENANGAN BN DALAM PRU14, KATA PENGANALISIS

PENGANALISIS politik, Dr Hoo Ke Ping berkata kerjasama tidak rasmi antara PAS dan Umno akan membolehkan Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya umum akan datang dan meraih semula majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kemenangan itu juga akan diperkuat dengan keyakinan pengundi Cina yang beralih sokongan kepada BN kali ini, kata Khoo yang juga seorang pengkaji ekonomi.

“Dengan kerjasama dua parti Melayu itu, lebih 50 peratus daripada 130 kerusi Melayu boleh ditawan, walaupun di kawasan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih.

“Sekali gus (ia) memperlihatkan PAS menjadi faktor terpenting pada PRU akan datang,” katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian hari ini.

Beliau yakin bahawa Umno dan PAS akan menyumbang sekurang-kurangnya 120 kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Kerjasama tidak rasmi dan tanpa rekod antara Umno dan PAS sejak empat tahun lalu bakal mewujudkan peluang kemenangan sekurang-kurangnya di 120 kerusi Parlimen.

“Ia mungkin berlaku, walaupun pakatan pembangkang menampilkan pelbagai cara, termasuk taktik kotor dan kejutan yang dimomokkan pemimpin DAP,” katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dengan merujuk prestasi BN pada 1999, ketika parti itu ditolak oleh pengundi di hampir 50 kawasan.

“Umno akan tetap menang sekurang-kurangnya 95 kerusi, walaupun tanpa kerjasama dengan PAS,” katanya.

Khoo turut menjangka, MCA dan Gerakan akan menyumbang 20 kerusi di kalangan mereka, ekoran peralihan sokongan 30 peratus pengundi Cina kepada BN.

Isu besar seperti skandal penyelewengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga tidak akan menjejaskan sokongan ini, katanya lagi.

Ia boleh dilihat melalui trend sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya negeri Sarawak dan siri pilihan raya kecil yang diadakan dalam penggal Parlimen ini.

“Berdasarkan hampir 60 peratus pengundi Cina kembali menyokong BN pada pilihan raya negeri Sarawak, di samping 20 hingga 30 peratus di lima pilihan raya kecil sebelum ini, BN dijangka menang besar walaupun pembangkang membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Beliau juga menjangkakan, MIC akan dapat menyumbangkan sekurang-kurangnya enam kerusi.

Kali terakhir BN meraih majoriti dua pertiga ialah pada 2004, yang menyaksikan parti itu menang besar selepas perdana menteri waktu itu Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih daripada Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2008, BN tewas di lima negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga, sebahagian besarnya  dikatakan berpunca daripada kritikan Dr Mahathir ke atas Abdullah.

Dr Mahathir kini mengetuai blok pembangkang Pakatan Harapan dan konsisten dalam kritikan ke atas Perdana Menteri Najib Razak, terutama berhubung skandal penyelewengan dana pelaburan 1MDB.

No comments:

Post a Comment